Pemerihalan Minyak (burung)

Ia berbadan besar dan langsing dengan panjang 40–49 cm (16–19 in) dan rentang sayap 95 cm (37 in). Ia mempunyai paruh bengkok yang kuat, rata, dikelilingi oleh bulu kejur berwarna berangan pekat berpanjang sehingga 5 sentimeter (2.0 in). Berat dewasanya dalam lingkungan 350–475 g (12.3–16.8 oz) tetapi anaknya boleh menjadi lebih berat, sehingga 600 gram (21 oz) jika induknya memberi banyak buah sebelum ia boleh terbang.[7] Bulunya lembut seperti kebanyakan burung malam, tetapi tidak selembut hantu atau tukang, kerana ia tidak perlu berdiam diri seperti spesies pemangsa. Warna bulunya kebanyakannya perang kemerahan dengan tompok-tompok putih pada tengkuk dan sayap. Bahagian bawahnya berwarna perang-kuning pucat dengan tompok putih berbentuk intan bersisi hitam. Tompok-tompok tersebut bermula kecil menghala ke arah tekak dan menjadi lebih besar ke arah belakangnya. Bulu ekornya yang kaku berwarna perang pekat bertompok putih pada kedua-dua sisinya.[6]

Kakinya kecil dan hampir tidak berguna, selain untuk berpaut pada permukaan menegak. Sayap panjangnya telah berevolusi untuk menjadikannya mampu terbang berkimbang dan berpusing, yang membolehkannya mengemudi melalui kawasan larangan guanya. Sebagai contoh, sayapnya mempunyai aluran hujung sayap yang dalam, seperti hering Dunia Baharu, untuk mengurangkan kelajuan pegun, dan sayapnya mempunyai nisbah aspek yang rendah dan muatan sayap yang rendah, semuanya untuk menjadikan minyak mampu terbang pada kelajuan rendah.[6]

Mata minyak sangat tersesuai untuk meramu pada waktu malam. Matanya kecil, tetapi pupilnya agak besar, membenarkan kapasiti pengumpulan cahaya tertinggi bagi mana-mana burung (nombor f 1.07).[8] Retina dipenuhi oleh sel batang, 1,000,000 rod per mm 2, ketumpatan tertinggi bagi mana-mana mata vertebrata,[8] yang teratur dalam lapisan, susunan yang unik dalam kalangan burung tetapi dikongsi oleh ikan laut dalam. Ia mempunyai bilangan sel kon yang rendah, dan susunan keseluruhannya akan membolehkannya menangkap lebih banyak cahaya dalam keadaan cahaya rendah tetapi mungkin mempunyai penglihatan yang lemah pada waktu siang.[9]

Walaupun ia mempunyai penglihatan tersesuai khusus untuk meramu melalui penglihatan, ia adalah antara segelintir burung yang diketahui menokok penglihatannya dengan ekolokasi dalam keadaan cahaya malap, menggunakan satu tubian klik berbunyi tajam untuk tujuan tersebut. Satu-satunya burung lain yang diketahui melakukan sepertinnya ialah beberapa spesies lelayang.[10]

Selain klik yang digunakan untuk ekolokasi, minyak juga menghasilkan pelbagai seruan yang keras semasa berada di dalam guanya. Memasuki gua dengan cahaya terutamanya akan menimbulkan seruan garuk tersebut; ia juga boleh didengari semasa ia bersiap untuk keluar dari gua pada waktu senja.